69 projek pertanian dikesan lakukan pencemaran

64

7 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 69 projek pertanian di seluruh negara kerana didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar sejak 2018 hingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata daripada jumlah itu 16 projek diberikan notis arahan dan dua lagi projek dikenakan kompaun manakala dua lagi projek diambil tindakan mahkamah.

Ahmad Masrizal juga memakluman terdapat 269 kes pembakaran terbuka di ladang sawit dan 49 lagi di ladang getah dikesan di seluruh negara dan tindakan telah diambil mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“JAS dan Jabatan Pelindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) kini mempertingkatkan operasi pencegahan kebakaran terbuka berikutan fenomena cuaca panas dan kering.

“Pelbagai langkah diambil termasuk meningkatkan rondaan darat, mengeluarkan notis arahan dan surat amaran serta mengadakan ceramah dan mengedarkan poster bagi memberi kesedaran kepada orang awam dan swasta mengenai bahaya pembakaran terbuka,” katanya ketika menjawab soalan sesi jawab lisan di Dewan Negara sebentar tadi.

Ahmad Masrizal berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk John Ambrose yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan apakah usaha Kementerian dalam meningkatkan pemantauan ke atas aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar dapat terpelihara dari pencemaran.

Ambrose juga mahu tahu apakah statistik tindakan yang telah diambil terhadap syarikat-syarikat yang mencemarkan alam sekitar dalam aktiviti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, kajian menunjukkan bahawa 36,200 hektar daripada 200,600 hektar kawasan tanah gambut di Sabah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlaku kebakaran.

Dalam pada itu Ahmad Masrizal juga mengesahkan 43 ladang kelapa sawit di Sabah dikompaun dan satu kes dibawa ke mahkamah, pada tahun lalu.

Malah, Ahmad Masrizal berkata sehingga 31 Ogos lalu, JPAS mengeluarkan sebanyak 14 kompaun kesalahan melakukan kebakaran terbuka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.