62 jangkitan baru, 51 dikesan di Sabah

107

7 SEPT: Kes baru COVID-19 melonjak mendadak kepada 62 kes hari ini dengan 50 daripadanya adalah penularan dalam kluster Benteng LD di Sabah melibatkan banduan dan tahanan lokap di Lahad Datu serta Tawau.

Selain itu, Kedah melaporkan satu lagi kluster baru iaitu kluster Sungai yang telah dikenal pasti di sebuah pusat perubatan melibatkan dua kakitangan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain dua yang dikesan positif dari kluster Sungai, Kedah turut melaporkan dua lagi kes baru dengan satu daripadanya dari kluster Telaga manakala satu lagi kes melibatkan saringan bergajala di sebuah klinik pergigian.

Katanya, keseluruhannya penularan tempatan melaporkan 56 kes dengan satu daripadanya melibatkan kes jangkitan respiratori akut teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu dan satu lagi di Pulau Pinang melibatkan saringan kontak rapat kes positif terdahulu.

“Enam lagi adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Enam kes import tersebut adalah dari negara Turki (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kes di Selangor); Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan Mesir (1 kes di Selangor),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, kes sembuh hari ini sebanyak sembilan kes dan dengan perkembangan kes terbaru menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 menjadi 207 kes.

Katanya, sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai kluster Benteng LD yang melaporkan 50 kes baru hari ini, Noor Hisham berkata, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif COVID-19 dikesan dengan kadar positiviti sebanyak 4.7 peratus.

Katanya, daripada 66 kes positif COVID-19 dalam kluster ini, sebanyak 64 kes atau 97 peratus melibatkan banduan manakala dua lagi kes merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya.

“Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 631 orang banduan; kakitangan penjara (98); ahli keluarga kakitangan dan banduan (157); anggota polis (78); dan 440 orang pegawai agensi kerajaan yang lain.

“Kluster ini melibatkan dua daerah di Sabah. Daripada jumlah kes positif COVID-19 kluster ini, 30 kes (45.5 peratus) merupakan warganegara Malaysia dan 36 kes (54.5 peratus) bukan warganegara,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan analisis risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi kluster ini adalah ruang lokap yang sesak dan sempit sehinggakan penjarakan fizikal sukar diamalkan.

“Ini merupakan penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19 di kalangan banduan. Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat,” katanya.

Berhubung kluster Sungai pula, Noor Hisham berkata, kes indeks iaitu jes ke-9455 kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut.

Katanya, individu itu bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan dan beliau didapati positif setelah ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020.

“Kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah. Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 September 2020 dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama.

“Ujian saringan COVID-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif. Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 7 September 2020, seramai 57 orang telah disaring,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.