Siasat pihak sabotaj sumber air bawah SOSMA – Zahid

73

6 SEPT: UMNO menuntut tindakan tegas kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas pihak yang terlibat mencemarkan sumber air sehingga menyebabkan jutaan rakyat di Selangor terjejas.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejadian yang boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk sabotaj bekalan air negara jelas memberikan satu mesej yang kuat kepada kerajaan negeri dan Persekutuan betapa undang-undang sedia ada tidak memadai.

Katanya, sehubungan itu, undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dipinda selain menimbangkan akta baru bagi memperkenalkan hukuman lebih berat seperti meningkatkan denda dan kompaun yang lebih tinggi iaitu 10 kali ganda daripada kos pembersihan pencemaran air sungai tercemar.

“Kedua, pemilik premis atau syarikat termasuk Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat juga perlu dikenakan hukuman penjara mandatori dan sebatan kerana sabotaj bekalan air negara.

“Ketiga, lesen perniagaan syarikat berkaitan dibatalkan dan pemilik premis atau pemilik syarikat perniagaan termasuk Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat disenarai hitam dari menjalankan sebarang aktiviti perniagaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, penahanan dan pendakwaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 430 Akta Kanun Keseksaan melibatkan pemilik premis yang disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah adalah sesuatu yang wajar.

Namun katanya, UMNO juga menggesa pihak berkuasa agar pemilik premis dan/atau syarikat serta Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat tersebut turut didakwa di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Tambahan, pemilik-pemilik premis dan/atau syarikat serta Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat berkenaan juga perlu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tindakan tegas perlu diambil kerana mensabotaj serta mencemarkan Sungai di Selangor ini.

“UMNO sama sekali tidak akan berkompromi terhadap apa jua isu yang bukan sahaja menyahkan hak rakyat bahkan memudaratkan keselamatan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang. Rakyat berhak untuk hidup dalam persekitaran yang bersih, sihat dan selamat!,” tegasnya.

sg gong

Menurut Ahmad Zahid, UMNO memandang serius kesalahan berulang daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebabkan sumber bekalan air rakyat tercemar seperti yang dihadapi rakyat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, ini sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali memandangkan ia merupakan kejadian kedua daripada kilang penyelenggaraan jentera berat yang sama di mana sebelum ini pemilik premis berkenaan pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan yang sama iaitu mencemarkan sungai di Selangor.

“Perlu diingatkan, salah satu daripada lapan hak pengguna ialah hak untuk hidup dalam persekitaran yang kondusif dan kesihatan yang baik. Maka keselamatan dan kesihatan rakyat berpunca dari sumber air yang bersih wajib dijaga tanpa sebarang kompromi,” tegasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.