Rundingan kerusi rakan PN hampir selesai – STAR

59

6 SEPT: Tinggal tiga lagi kerusi yang masih dalam perundingan antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu depan.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, setakat ini 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dikenal pasti yang akan ditandingi parti itu.

“Tiga lagi kerusi masih dibincangkan bersama parti rakan PN dan dijangka selesai sebelum pengumuman calon, sama ada pada Selasa atau Rabu depan.

“STAR meminta 18 kerusi dan kita sudah dapat 15,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah ditetapkan pada 12 September manakala pengundian awal 26 September.

Jeffrey yang enggan mendedahkan senarai kerusi yang akan ditandingi serta calon diketengahkan STAR pada PRN kali ini, berkata senarai tersebut dijangka diumumkan serentak bersama parti rakan dalam PN pada Selasa atau Rabu ini.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Sebelum ini, Jeffrey mengumumkan STAR akan bertanding di DUN Paginatan dalam kawasan Parlimen Ranau dengan meletakkan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Abidin Madingkir yang menyertai parti tersebut pada Ogos selepas meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada akhir Julai.

Pada PRU14, selain Tambunan, STAR turut menang di kerusi DUN Bingkor, dan kedua-duanya terletak dalam Parlimen Keningau.

Satu lagi kerusi milik STAR ialah DUN Sook selepas penyandangnya Datuk Ellron Angin menyertai parti itu setelah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 2018.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.