Ribuan berhimpun di Zagreb bantah sekatan COVID-19

69

6 SEPT: Ketika pakar perubatan di seluruh dunia menekankan norma baru dan penjarakan fizikal sebagai cara yang ada bagi mengekang penularan COVID-19, namun di ibu negara Croatia, ribuan berhimpun semalam membantah langkah pencegahan tersebut.

Penunjuk perasaan berkumpul di dataran Zagreb, Croatia, bagi membantah tindakan pihak berkuasa dalam mengekang COVID-19 yang disifatkan mereka sebagai membahayakan hak asasi manusia dan kebebasan.

Malah ada di antara mereka mengangkat beberapa sepanduk tertera ‘COVID adalah penipuan, tanggalkan pelitup muka, dan tutup TV’ sebagai tanda protes.

Ia diadakan sempena Festival Kebebasan dan bertujuan memberi amaran terhadap sekatan yang berkaitan dengan koronavirus yang didakwa penganjur sebagai mencabuli hak kebebasan tanpa dasar perubatan atau perundangan yang sah.

“Kami bertegas dalam menjaga hak asasi manusia, kebebasan, pengetahuan, solidariti dan saling menghormati.

“Ia mengenai sekatan sosial, pemaksaan jarak fizikal dan pengurangan hubungan fizikal,” kata kumpulan yang menganjurkan acara itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu Menteri Kesihatan Vili Beros dalam reaksinya berhubung perkara itu berkata, dia tidak menyokong “pendekatan tidak saintifik terhadap COVID-19.”

“Semua sekatan sementara ini mempunyai satu tujuan, untuk melindungi kesihatan dan kehidupan warga Croatia. Kami berjaya dalam hal itu, ” katanya.

Negara dengan 4.2 juta penduduk itu mencatatkan peningkatan kes baharu yang mencecah lebih dari 200 setiap hari pada akhir Ogos dengan 369 kes Khamis lalu.

Sejak pertengahan bulan Julai, Croatia mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk pengangkutan awam serta semua perkhidmatan yang membabitkan ramai pelanggan.

Ketika ini negara itu mencatatkan hampir 12,000 jangkitan dengan 197 kematian disebabkan masalah pernafasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.