Noh sedia ajar MB Selangor cara urus kilang haram

131

6 SEPT: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar secara sinis sedia menunjukkan kepada kerajaan negeri Selangor bagaimana cara untuk membuat pemutihan kilang haram.

Beliau berkata, rakyat Selangor mahukan satu penyelesaian jangka panjang tentang isu air setelah masalah gangguan bekalan air akibar buangan sisa kilang haram sentiasa berulang.

Malah, dalam nada tegas, Noh berkata, elok sahaja Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan jawatan jika tidak tahu nak mentadbir.

“Kalau tak tahu nak memerintah elok MB letak jawatan. Rakyat Selangor bukan nak baca kenyataan media semata-mata.

“Kalau kerajaan Selangor tidak tahu memerintah, jumpa saya dan saya ajar cara buat pemutihan kilang haram,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam gangguan terbaru, lebih dua juta penduduk terjejas sejak Khamis lalu dan walaupun Loji Rawatan Air (LRA) yang terjejas sudah mula beroperasi, namun bekalan baru pulih untuk satu pertiga kawasan setakat pagi ini.

LRA Sungai Selangor terpaksa dihentikan tugas apabila pencemaran bau dikesan yang berpunca daripada pembuangan sisa kilang oleh sebuah premis haram sekali gus mengundang kemarahan rakyat.

Apatah lagi premis berkenaan terus beroperasi walaupun tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa dan pernah dikompaun sebelum ini.

Menurut Noh yang juga Penegrusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, masalah gangguan bekalan air yang sentiasa dihadapi rakyat Selangor bukan isu politik.

Katanya, masalah ini akan melibatkan semua tanpa mengira ahli parti mana sekali gus menuntut penyelesaian jangka panjang.

“Ini bukan isu politik. Tak kira org BN ke PAS ke PKR ke Bersatu ke DAP ke, bila air tak ada semua terkesan,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.