Lulus lain, yang dipasang lain

410

6 SEPT: Yang diluluskan lain, yang dipasang lain. Itu yang berlaku dalam isu pemasangan papan iklan di sekitar MidValley City, Kuala Lumpur kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama sehingga tular di media sosial.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam isu paparan iklan yang dipasang di sekitar pusat membeli-belah Mid Valley seperti mana yang tular, pihak berkaitan didapati tidak mematuhi kelulusan yang telah diluluskan.

“Paparan iklan yang diluluskan DBP adalah dalam bahasa Melayu sebagai bahasa ungkapan utama dan diiringi dengan bahasa lain.

“Namun apabila berlaku pemasangan paparan iklan di tapak, berlaku ketidakpatuhan kepada kelulusan yang diberikan, di mana bahasa iringan telah dijadikan ungkapan utama.

“Menyedari kesilapan yang telah dilakukan, pihak berkaitan bertindak menurunkan sendiri paparan iklan tersebut,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut DBKL, mana-mana pihak yang ingin menaikkan paparan iklan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), perlu melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mendapatkan pengesahan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai paparan iklan berhampiran Mid Valley, Kuala Lumpur yang didapati tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai ungkapan utama, sehingga menarik perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, dalam ciapannya di Twitter.

Jelas Annuar, semua papan iklan di Wilayah Persekutuan mesti mendaulatkan bahasa kebangaan.

“Bahasa lain boleh digunakan,tetapi hendaklah lebih kecil dari tulisan dalam bahasa kebangsaan.

“Tatabahasa hendaklah seperti diluluskan DBP,” tegas Annuar.

Kenyataan DBKL itu menyatakan terdapat enam jenis lesen iklan di WPKL yang dikeluarkan DBKL dan salah satu daripadanya adalah Lesen Iklan Paparan Luar.

“Lesen Iklan Paparan Luar ini tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihanraya) (WPKL) 1990.

“Sebarang ketidakakuran kepada Akta atau Undang-Undang Kecil ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawahnya,” menurut kenyataan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.