Kerajaan komited pastikan Petronas raih keuntungan

107

6 SEPT: Kerajaan komited memastikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mampu meraih keuntungan pada masa hadapan seiring peningkatan harga minyak global.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerugian yang diumumkan Petronas pada Jumaat lepas adalah disebabkan harga minyak yang rendah, bagaimanapun ketika ini ia telah menunjukkan peningkatan.

“Kalau tak silap saya pada Mac dan April lepas, harga minyak jatuh sampai AS$20 setong, sekarang ini sekurang-kurangnya berlaku peningkatan ekonomi global.

“Unjuran harga minyak tahun ini adalah kira-kira AS$40 setong, jadi ia masih lagi dalam jajaran dalam unjuran tersebut,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Tengku Zafrul diminta mengulas pengumuman Petronas kelmarin bahawa ia mencatatkan kerugian sebanyak RM21 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya.

Selain itu, Petronas merekodkan hasil rendah sebanyak RM34.04 bilion bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020, daripada RM59.12 bilion disebabkan terutamanya impak daripada purata harga direalisasi rendah yang dicatatkan bagi produk utama berikutan kuantiti jualan rendah terutamanya bagi produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) serta gas diproses.

Tengku Zafrul yang dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai semalam telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walaupun Petronas tidak mencatat keuntungan, royalti minyak untuk Terengganu akan tetap disalurkan pada bulan ini (September) seperti mana yang telah diputuskan kerajaan, namun jumlahnya masih perlu diperhalusi berdasarkan keadaan semasa.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata kerugian yang dicatatkan Petronas tidak akan menjejaskan pembangunan negara kerana kerajaan masih mempunyai beberapa inisiatif untuk menstabilkan ekonomi dan memperoleh pendapatan.

“Kerajaan masih lagi akan melakukan perbelanjaan terutama untuk pembangunan, oleh sebab itulah defisit fiskal kita akan naik.

“Defisit negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), di mana ia diunjurkan meningkat antara 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

“Perbelanjaan dilakukan oleh kerajaan khususnya pembangunan, menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membuat perbelanjaan yang penting untuk membantu rakyat dan perniagaan bagi mengaktifkan semula ekonomi,” katanya.

“Kerajaan bukan sahaja bergantung kepada sumber daripada Petronas tetapi negara juga mempunyai hasil-hasil lain dan sumbangan Petronas adalah kurang daripada 20 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan dan langkah-langkah yang akan disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan sampai kepada kumpulan tersasar dengan telus dan cepat.

“Negeri Terengganu kaya dengan sumber semula jadi, warisan budaya dan anugerah alam sekitar semula jadi. Ia mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan. Potensi inilah yang akan dikaji bersama melalui perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.