Isteri MB Selangor mohon maaf isu gambar lori air

262

6 SEPT: Untuk mendapatkan sebaldi air, ada yang perlu bersusah payah beratur panjang malah tidak kurang yang terpaksa menghabiskan wang yang banyak bagi membeli air mineral akibat gangguan bekalan sejak Khamis.

Sebab itu, apabila ada pasangan kenamaan memuat naik di media sosial tentang layanan istimewa diterima mereka dengan lori tangki air datang hingga ke pintu rumah, ia pantas menimbulkan buah mulut di laman media sosial.

Sebagai contoh, gambar lori Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang berada di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor dan ahli keluarganya mandi di kolam renang di kediaman terbabit tular di media sosial sejak semalam.

Sedar tindakannya menimbulkan rasa kurang senang orang ramai, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad memohon maaf berhubung tindakannya memuat naik beberapa keping gambar yang didakwa mengguris hati rakyat ketika berdepan isu gangguan bekalan air di negeri ini.

Masdiana mengakui kekhilafan memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran tetapi menafikan dakwaan bahawa lori tangki dihantar untuk memenuhkan kolam renang di kediaman rasmi itu.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya menyedari kekhilafan di pihak saya memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran.

“Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah.

“Saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, beliau akan bersama petugas barisan hadapan Air Selangor untuk membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air terutama golongan ibu dan warga emas.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, setakat jam 6.30 petang tadi, lebih 60 peratus kawasan yang terjejas telah menerima bekalan air.

“Sebanyak 62.7% bekalan air telah pulih sepenuhnya, bersamaan dengan 811 daripada 1,292 kawasan secara keseluruhan.

“Wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor telah pulih hampir sepenuhnya, diikuti Gombak dan Petaling,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.