GPS tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP

229

6 SEPT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan sesekali menjalinkan kerjasama politik dengan DAP, tegas Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Ketua Menteri, tohmahan dan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) masih tidak mampu dilupakannya.

Katanya, ini termasuk tuduhan Guan Eng kononnya Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun kerana mempunyai bajet yang besar sedangkan itu semua satu pembohongan.

“Saya masih belum lupakan semua tohmahan DAP dan saya tidak akan melupakannya,” katanya sambil menambah yang hakikatnya rizab negeri Sarawak terus bertambah.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PBB Peringkat Utara Sarawak di Miri.

Yang hadir sama timbalan beliau, Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

Memetik laporan Borneo Post, Pengerusi GPS itu memaklumkan, sebab itu pihaknya menolak tawaran bekerjasama dengan DAP ketika krisis politik negara pada Februari lalu.

Katanya, ini sebab apa yang dituduh Guan Eng dan tindakannya membatalkan beberapa projek untuk rakyat Sarawak masih tidak dapat diterima.

“Selepas mengecam kita akan bankrap, kemudian mahu pula meminta kerjasama politik,” katanya.

Menurut Abang Johori, kerjasama GPS bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan mendokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah bagi menyelamatkan Malaysia.

Beliau sehubungan itu menyeru ahli PBB dan GPS menjadikan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia itu sebagai iktibar.

“Apabila masalah kecil diperbesarkan, mereka bertindak keluar daripada parti dan tubuh parti lain.

“Apabila GPS sokong Perikatan Nasional (PN), bukan kita yang sokong pihak yang bermasalah tetapi individu yang meletak jawatan itu, bermasalah.

“Sebab kita mahu bantu negara mencapai kestabilan terutamanya ketika COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.