Azmin saran Dr. Mahathir dan Anwar berehat

387

6 SEPT: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat daripada arena politik.

Menurut Mohamed Azmin, sudah masanya kedua-dua pemimpin itu menyerahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara selaku Perdana Menteri kelapan.

Memetik laporan portal Astro Awani, Azmin berkata, perseteruan dan perebutan jawatan membabitkan keduanya membuatkan beliau serta rakyat Malaysia bosan kerana diheret sama ke dalam kancah yang berlarutan selama lebih 20 tahun sejak Dr Mahathir dan Anwar sama-sama dalam kerajaan.

“Rakyat menderita di bawah, rakyat susah di bawah, hari-hari dia (Anwar) tanya bila aku nak jadi perdana menteri.

“Yang si Langkawi (Dr Mahathir) kata tunggulah bagilah aku enam bulan lagi, (Anwar) tak (setuju), (minta) tetapkan tarikh.

“Tuan-tuan, 20 tahun kami bincang siapa nak jadi perdana menteri, cukuplah tak ada kerja lain. Saya ingat dua-dua ni rehat, serahkan kepimpinan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Mohamed Azmin seperti dilaporkan portal AstroAwani hari ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, pada Sabtu.

Yang hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Dalam ucapan itu, Mohamed Azmin mengakui antara soalan yang sering dilontarkan kepadanya sejak bersama-sama mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini adakah beliau selesa bersama UMNO dan Pas.

Kata bekas Menteri Besar Selangor berkenaan , setiap kali itu beliau akan menjawab:

“Saya jawab mudah saja,`saya lebih yakin duduk di sebelah Pas dan UMNO daripada duduk dengan Anwar Ibrahim,” ujarnya dalam laporan portal berita itu.

Katanya, beliau bersama beberapa Ahli Parlimen yang lain mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin sebagai langkah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil di mana mampu memenuhi hasrat dan keperluan rakyat Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.