ADUN Kedah penyokong Azmin sertai Bersatu

189

6 SEPT: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di Kedah, Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi.

Azman adalah ADUN Lunas manakala Robert adalah ADUN Sidam yang juga EXCO kerajaan negeri dan kedua-dua mereka sebelum ini telah mengisytiharkan keluar PKR bagi menyokong pembentukan kerajaan baru Kedah Mei lalu.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kedah malam tadi di hadapan Menter Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang menyertai BERSATU pada 22 Ogos lalu.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut merasmikan Pejabat Penggerak Komuniti Negara Parlimen Alor Setar.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan hampir 10,000 ahli PKN di negeri ini akan mengikut jejak langkahnya menyertai BERSATU.

“Malam ini kita menghantar borang untuk keahlian BERSATU daripada pengerusi PKN di setiap kawasan parlimen di negeri ini dahulu, di peringkat akar umbi kita akan susun kemudian,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Azman turut menjelaskan penyertaan akar umbi PKN dalam BERSATU tidak lama lagi akan turut membabitkan kaum lain iaitu India, Cina dan Siam.

Katanya, ia berikutan pengumuman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dapat bersama-sama memegang jawatan dan menyumbang idea.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.