131 individu ditahan ingkar arahan PKPP

36

6 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 131 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 112 individu dikompaun, 17 individu direman manakala dua lagi individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (31), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (20); langgar perintah kuarantin (2); premis beroperasi lebih masa (4); premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1); dan aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (73).

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga membuat 60,340 pemeriksaan semalam bagi memantau dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai empat tekong dan 67 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Op Benteng yang dilaksanakan semalam.

“Operasi turut merampas satu bot dan empat kenderaan darat. Selain itu, sebanyak 79 sekatan jalan raya juga dilaksanakan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 23,590 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

Tambahnya, mereka ini telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Daripada jumlah itu, 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 14,362 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.