Kerajaan Selangor gagal tangani krisis air, rakyat derita

140

5 SEPT: Kegagalan kerajaan negeri Selangor menangani krisis bekalan air dengan baik menyebabkan rakyatnya lebih-lebih lagi yang berpendapatan rendah semakin menderita dalam situasi COVID-19 ketika ini.

Exco Angkatan Anak Bersatu Anak Muda (Armada), Adi Farhan Isa berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan peniaga kecil dan penjaja makanan berdepan kesukaran menyediakan bahan jualan.

“Sudahlah golongan berpendapatan rendah ini sedang menghadapi kekangan kewangan sejak wabak COVID-19 melanda negara enam bulan lalu, kini baru sahaja mereka nak cari pendapatan, masalah air pula melanda.

“Kegagalan kerajaan negeri Selangor menangani isu air ini membuatkan rakyat terus menderita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ADI FARHAN ISA

Beliau yang juga Naib Ketua Armada Bahagian Sungai Buloh menambah, rakyat tidak dapat menerima apa jua alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor memandangkang krisis air terlalu kerap melanda negeri tersebut.

Adi Farhan memberitahu, selain kegagalan kerajaan negeri Selangor, terdapat kelemahan pada pihak berkuasa tempatan dan Pengurusan Air Selangor Berhad.

“Kalau sekali dua krisis air ini berlaku mungkin kerajaan negeri Selangor boleh menuding jari kepada pihak lain tapi bila sudah acap kali sangat masalah air ini berlaku maka puncanya adalah kegagalan pentadbiran kerajaan negeri serta pihak berkaitan.

“Rakyat Selangor sudah muak dengan pelbagai alasan yang diberikan dan Armada mendesak penyelesaian secara total dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan isu bekalan air tidak terus berulang,” katanya.

Beliau berkata, Armada akan memantau rapi krisis air yang sedang melanda Selangor dan bersedua untuk mengambil tindakan seterusnya termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sekiranya ada unsur penyelewengan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.