Cari VVIP dalang sindiket judi haram – KPN

91

5 SEPT: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi tempoh sebulan kepada anggota dan pegawainya untuk menyiasat dakwaan terdapat ‘orang ternama’ (VVIP) mendalangi sindiket perjudian haram di negara ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedar bahawa ramai orang yang mendakwa bahawa terdapat ‘orang besar’ termasuk anak Menteri, Tan Sri atau Datuk yang terbabit dalam sindiket perjudian yang berleluasa di negara ini.

“Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga pernah membuat pendedahan. Memang ada khabar angin bahawa orang penting termasuk ahli politik yang melindungi aktiviti judi haram. Saya tidak mahu mendengar khabar angin, tetapi mahu melihat kebenaran.

“Oleh itu, saya telah memberi arahan untuk melakukan siasatan dalam tempoh sebulan bagi menahan dalang yang ada, tidak kira mereka itu orang penting atau ahli politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan bahawa polis akan menangkap sama ada ‘ikan bilis’ atau ‘ikan besar’ jika terbabit dengan kegiatan terbabit.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menegaskan, polis juga tidak akan teragak-agak menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) untuk mengambil tindakan ke atas sindiket perjudian.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid membidas polis Hong Kong dan Macau kerana tidak berlaku adil terhadap polis Malaysia dalam soal penahanan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, walaupun wakil telah dihantar ke Beijing, Hong Kong dan Macau, tetapi usaha membawa pulang Jho Low masih tidak berjaya.

“Saya percaya Jho Low masih berada di Macau. Dia pernah cuba membeli hartanah di Cyprus, tetapi tidak berjaya kerana telah dikesan kerajaan sana.

“Dia juga pernah berniaga di Taiwan, ini menunjukkan dia bebas bergerak ke sana ke sini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.