4 pemilik kilang cemar Sg Gong ditahan

1,266

5 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata semua suspek berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak. Kita akan buat permohonan reman pagi ini di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh empat suspek yang juga adik-beradik selepas bapa mereka meninggal dunia dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu, sudah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau berkenaan.

Empat suspek terbabit seterusnya direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nurul Mardhiah Mohamed Redza, ke atas semua suspek berusia 50 hingga 60 tahun.

Kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 9.45 pagi tadi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.