4 LRA terjejas kembali beroperasi malam tadi

50

5 SEPT: Empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang sudah kembali beroperasi secara berperingkat sejak jam 10.30 malam tadi.

Bagaimanapun, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pagi ini mengesahkan keempat-empat LRA berkenaan memerlukan masa selama 10 jam untuk proses pencucian dan pengepaman sebelum dapat beroperasi sepenuhnya mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter.

Menurut kenyataan itu, proses berkenaan dijangka selesai jam 8.30 pagi ini sebelum air dapat diagihkan kepada pengguna terjejas.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada airlock dalam sistem perpaipan,” kata Air Selangor.

Menurut Air Selangor, bagi membantu proses pemulihan di keempat-empat LRA berjalan dengan lebih segera, mereka akan terus melakukan pelepasan air mentah dari beberapa empangan.

Empangan yang terbabit, kata Air Selangor, adalah Empangan Sungai Selangor yang melepaskan sebanyak 500 juta liter sehari (jlh), Empangan Sungai Tinggi (800jlh) dan Horas 600 (150jlh).

Operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 2,023jlh.

Katanya keempat-empat LRA terbabit kini beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850jlh.

Pada masa sama Air Selangor mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada operator air di negeri lain iaitu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ).

Lori-lori berkenaan, kata Air Selangor, membantu mengagihkan bekalan kepada pengguna yang terjejas.

“Bantuan bekalan air kecemasan yang dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan sebanyak 114 lori tangki, termasuk dari operator negeri lain, dan menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air.

“Tidak ketinggalan Air Selangor menempatkan 70 tangki statik di 19 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minum 5 liter kepada para pengguna yang terjejas,” katanya.

Untuk sebarang maklumat terkini, Air Selangor akan menyampaikan butirannya dari semasa ke semasa melalui semua medium komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.