15 peserta pesta liar ditahan langgar PKP

63

5 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 46 individu termasuk 15 orang terbabit dengan penganjuran pesta liar kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan lain yang dikesan adalah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (lapan), tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa (10), premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1) dan aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (1).

Berikutan itu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, seramai 45 individu yang ditahan itu dikenakan kompaun dan seorang individu lagi dijamin.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga membuat 55,838 pemeriksaan semalam bagi memantau dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 3,185 pasukan pematuhan membabitkan 13,314 anggota membuat pemantauan di 3,498 pasar raya, 4,527 restoran serta 1,334 penjaja, 898 kilang, 3,275 bank dan 764 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau adalah 1,016 terminal pengangkutan darat, 168 terminal pengangkutan air serta 101 terminal pengangkutan udara,” katanya kenyataan media, hari ini.

Berkaitan kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai sehingga semalam, 22,906 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

“Daripada jumlah itu, 9,028 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 13,812 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.