Tuduhan ke atas Goldman Sachs ditarik

110

4 SEPT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 billion).

Julai lalu, Goldman Sachs Group Inc bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) kepada kerajaan Malaysia, untuk menyelesaikan tuntutan tertunggak berkaitan 1MDB .

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global itu yang berpangkalan di United Kingdom.

“Oleh itu Goldman Sachs International Ltd, Goldman Sachs (Asia) dan Goldman Sachs (Singapura) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang diatur untuk 1MDB.

Kementerian itu berkata penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah didiseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.