Tiada laporan sogokan PRK DUN Slim

36

4 SEPT: Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti kukuh mengenai kegiatan pemberian sogokan wang tunai kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu lalu diminta tampil membuat laporan rasmi.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tindakan itu perlu kerana sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan berhubung kegiatan pemberian sogok dengan wang kepada pengundi seperti dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya menerima laporan, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat siasatan.

“Sesiapa yang ada maklumat pengundi dirasuah boleh datang ke balai untuk membuat laporan.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan pengundi disogok pada PRK Slim. Kita hanya terima lima laporan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya dalam sidang media di Kerian, Perak, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa pengundi PRK DUN Slim menerima sogokan sehingga RM150 seorang apabila mengundi calon Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, mengulas isu judi dalam talian, Razarudin berkata pihaknya telah membuat 30 permohonan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke premis berkaitan di Perak.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 premis di Ipoh telah diambil tindakan manakala baki 18 lagi masih dalam proses untuk tindakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.