Srikandi Bersatu Sabah siap sedia hadapi PRN

56

4 SEPT: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di bawah pimpinan Datuk Azizah Mohd Dun sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, sayap itu sudah mula mendekati pengundi di Sabah sejak awal penubuhan parti itu dan momentum itu akan diteruskan pada PRN hujung bulan ini.

“Walaupun masa semakin suntuk, tetapi Srikandi Sabah yang dipimpin Datuk Azizah Mohd Dun mampu membawa kemenangan calon daripada Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Rina ditemui pemberita selepas majlis makan malam sempena program sentuhan kasih Srikandi Bersatu Bahagian Tawau di Wisma Keluarga Titingan malam tadi.

Pada program itu, beliau turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga kurang berkemampuan di kawasan DUN Apas.

Sementara itu, Rina berkata, Srikandi menyenaraikan 10 nama calon wanita daripada sayap itu untuk bertanding dalam PRN Sabah 26 September ini.

Kata beliau, senarai itu telah dihantar kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diputuskan.

“Saya telah hantar nama-nama calon wanita ini dan kita mahu calon daripada sayap wanita bertanding pada PRN Sabah ini.

“Keputusannya kita tunggu presiden parti (Muhyiddin) mengumumkannya, saya tidak boleh mendahului presiden saya,” katanya.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setakat ini rundingan antara parti dengan rakan sekutu bagi agihan kerusi masih dijalankan dan belum diketahui jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi Bersatu.

“Cuma saya harapkan sebagai sebuah parti yang begitu prihatin kepada rakyat dan wanita, saya yakin akan ada calon wanita nanti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.