Perancis diminta nilai semula isu minyak sawit

97

4 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia berharap kerajaan Perancis menilai semula isu berkaitan minyak sawit dengan sewajarya pada masa akan datang.

Perdana Menteri yang menerima kunjungan hormat Duta Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche di pejabatnya hari ini berkata, Parlimen Perancis pada 19 Disember 2018 telah meluluskan pindaan ke atas Belanjawan 2019 yang membawa kepada penamatan insentif cukai minyak sawit bermula tahun ini.

Walau bagaimanapun katanya, jumlah import minyak sawit Malaysia ke Perancis pada tahun 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun 2018.

“Alhamdulillah, saya menyambut baik perkembangan ini dan berharap agar Perancis dapat menilai semula isu minyak sawit ini dengan sewajarnya pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Kunjungan Laplanche yang akan menamatkan perkhidmatan di negara ini hujung bulan ini itu berlangsung di bangunan Perdana Putra.

Menurut Muhyiddin, pada perjumpaan itu mereka berbincang mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis termasuk pandemik COVID-19 yang mana negara itu sehingga kini telah merekodkan lebih 300,000 kes.

Katanya, beliau dalan Laplanche juga berkongsi pengalaman dan pandangan bagi menambah baik serta mempertingkatkan usaha mengawal penularan jangkitan virus ini.

“Menurut TYT Laplanche, Perancis kini dalam proses menghasilkan vaksin COVID-19. Buat masa ini, terdapat tiga syarikat di Perancis terlibat dalam usaha tersebut.

“Pada kesempatan itu, saya menyampaikan hasrat Malaysia untuk turut bekerjasama dengan Perancis dalam penghasilan vaksin berkenaan,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Perancis juga memberi komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dan menyatakan hasrat terlibat sama dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

“Sehingga tahun 2019, Perancis adalah negara pelabur keenam terbesar di Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.69 bilion, yang memberikan pekerjaan kepada 18,094 rakyat Malaysia.

“Sebelum mengakhiri perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menjalin hubungan baik dengan Perancis, malah bersedia memperkukuhkan hubungan pada masa hadapan termasuk kesediaan Malaysia untuk meneroka peluang kerjasama yang baharu,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.