Lebih 500 ahli Amanah Kota Raja sertai Bersatu

53

4 SEPT: Seramai 545 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Kota Raja hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tertarik dengan kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Naib Pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurut Jaafar, antara faktor membuatkan mereka tertarik menyertai Bersatu adalah sifat kesederhanaan dan kepimpinan Muhyiddin selain keupayaannya menjaga kebajikan rakyat tatkala penularan pandemik COVID-19.

Tambahnya, kepimpinan Amanah pula pada masa sama tidak memainkan peranan penting dalam membela rakyat termasuk kelemahan aspek penjagaan kawasan dan keprihatinan kepada ahli.

“Ahli parti rasa tidak terbela walaupun sekian lama bekerja untuk parti.

“Disebabkan itu kami memilih untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional yang wadah perjuangannya untuk membangun serta membela rakyat.

“Sebagai anak jati Kota Raja, diharapkan parti ini dapat membawa perubahan di kawasan kami,” katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Selangor pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, jumlah ahli Bersatu di Selangor setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dengan 5,000 daripadanya terdiri dalam kalangan bukan Melayu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.