Jawapan isu Veveonah diakui satu kesilapan – KKMM

80

4 SEPT: Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan kenyataan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menyatakan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin tidak menduduki peperiksaan ketika video yang dirakamkan menjadi tular adalah satu kesilapan.

Saifuddin berkata, beliau juga sudah membaca maklum balas Veveonah membabitkan perkara itu.

“Yang Berhormat Timbalan Menteri akan memperbetulkan dan kenyataan itu sudah tercatat dalam hansard.

“Pada saya itu adalah satu kesilapan dan beliau sudah pun memohon maaf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tanjak Merdeka, Warisan Melayu Malaysia, di lobi kementerian itu, di Putrajaya hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Zahidi dalam Dewan Negara semalam bahawa hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika videonya memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet menjadi tular.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai Veveonah, memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Zahidi bagaimanapun malam tadi memohon maaf dan memeperbetulkan kembali kenyataannya di Dewan Negara itu berikutan memperoleh maklumat salah.

Sementara itu, kata Saifuddin, Sabah juga termasuk dalam pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu lalu yang akan melengkapkan hubungan internet di seluruh negara.

“Melalui dua fasa itu, kita sedang mempertingkatkan migrasi rangkaian 2G dan 3G kepada 4G dan fasa kedua kepada 5G.

“Jadi program kesalinghubungan di kawasan luar bandar sedang kita tingkatkan selain mengambil kira pengalaman negara berdepan dengan penularan COVID-19 dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, program Tanjak Merdeka yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah sangat signifikan.

Beliau berkata, dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, perlu ada keseimbangan antara nilai tradisi dan perkembangan sains, teknologi serta inovasi.

“Kita mahu menjadi sebuah negara maju dengan segala bentuk teknologi terkini tetapi tetapi ia harus berakar kepada paksi yang kukuh, antaranya adalah tradisi warisan bangsa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.