Jabatan Kimia analisis sampel air tercemar – Khairy

44

4 SEPT: Jabatan Kimia akan menyerahkan keputusan analisis sampel air mentah yang tercemar di kawasan Sungai Gong, Rawang kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam masa beberapa hari lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Jabatan Kimia sudah menerima sampel sebenar dari kilang disyaki terbabit melakukan pencemaran itu daripada JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, jabatan itu sedang membuat analisis Volatile Organic Compound (VOC) bagi empat sampel yang diterima daripada Kementerian Kesihatan, analisis VOC Hidrokarbon bagi empat sampel daripada LUAS dan analisis mengenai buangan terjadual bagi sampel JAS.

“Semua ini sedang dianalisis Jabatan Kimia dan saya sudah arahkan mereka mempercepatkan analisis ini.

“Sebaik saja keputusan diketahui, kita akan serahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Geran Padanan Impak Sosial (SIM) di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air berhubung teknologi baharu yang boleh digunakan untuk memantau pencemaran sumber air.

“Tindakan kita ketika ini sangat reaktif, apabila orang membuat aduan, barulah kita menganalisis sampel dan sebagainya. Jadi, kita lihat apa teknologi yang boleh digunakan supaya kita sentiasa dapat memantau pada masa sebenar tahap pencemaran sumber air kita dengan lebih baik.

“Ketika ini sudah ada teknologi tapi ia tidak begitu bagus. Perkara ini perlu dikesan dengan lebih awal lagi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya hukuman kepada mereka yang mencemarkan sumber air disemak semula.

“Saya harap kementerian berkenaan boleh membincangkan perkara ini di peringkat Jemaah Menteri untuk meningkatkan hukuman kerana ini adalah jenayah berat yang membabitkan jutaan rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.