13 ditahan kesalahan premis beroperasi lebih masa

61

4 SEPT: Premis beroperasi lebih masa antara pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhannya Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah menahan 48 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (12), tidak memakai pelitup muka (17), premis beroperasi lebih masa (13), langgar perintah kuarantin (1), dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (5).

“Daripada jumlah itu, seramai 47 individu telah dikompaun dan seorang lagi individu dijamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sepanjang tempoh PKPP ini, kerajaan memutuskan kesemua premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam kecuali untuk sektor tertentu seperti perkhidmatan klinik swasta.

Tambah Ismail Sabri, Operasi Benteng semalam telah berjaya melakukan 28 tangkapan yang melibatkan 83 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang tekong dan seorang penyeludup.

Katanya, operasi itu yang melibatkan 79 sekatan jalan raya (SJR) pelbagai agensi yang terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) turut membuat rampasan sebuah bot dan lima kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) juga telah melakukan 1,416 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,399 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.