Sidang sehari Parlimen sah demi elak COVID-19

56

3 SEPT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei lalu adalah sah dan mengikut undang-undang walaupun ia bukan normal dan tidak pernah berlaku sebelumnya, demi mengelak penularan wabak COVID-19.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu setelah menolak saman pemula yang dikemukakan peguam, R. Kengadharan dan seorang aktivis sosial, D. Arumugam terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof bagi mengisytiharan bahawa persidangan sehari Parlimen itu tidak mengikut Perlembagaan.

“Saya akui bahawa persidangan itu luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini, tetapi pada pandangan saya, ia bukan sesuatu yang salah, malah ia sah di sisi undang-undang,” katanya.

Menerusi laporan Bernama, Ahmad Kamal berkata dua pucuk surat dari ketua pemimpin Dewan iaitu perdana menteri, (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bertarikh 17 April dan 12 Mei yang telah menetapkan 18 Mei untuk berlangsungnya persidangan sehari Parlimen bagi mendengar titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai bahaya wabak COVID-19, adalah patut dan munasabah.

Hakim Ahmad Kamal berkata, keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang sehari Parlimen adalah munasabah dan sah memandangkan kerajaan mempunyai kuasa dan berhak melindungi nyawa Ahli Parlimen daripada risiko wabak COVID-19, mengelak wujudnya kluster baharu dan penyebaran virus COVID-19.

Pada 15 Mei, Kengadharan dan Arumugam memfailkan saman tersebut dengan menamakan Muhyiddin dan Mohamad Ariff sebagai defendan pertama dan kedua masing-masing antara lain memohon satu deklarasi bahawa sidang Parlimen pada 18 Mei itu adalah batal dan tidak sah kerana ia hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, oleh itu bercanggah dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa sidang itu sekadar wayang kerana tidak terdapat acara penting lain yang berlangsung seperti dinyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14 Dewan Rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, dalam afidavit yang difailkan bagi pihak Muhyiddin dan Mohamad Ariff, berkata sidang Parlimen pada 18 Mei adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Nizam Mydin, permohonan kedua-dua plaintif tidak mempunyai merit kerana kesahihan mana-mana prosiding tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah seperti yang termaktub di bawah Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 Mei, Mohamad Ariff dalam satu kenyataan menyebut bahawa beliau telah menerima surat pemberitahuan yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis menyatakan bahawa kerajaan telah memutuskan agenda bagi Mesyuarat Pertama Sesi Ketiga Parlimen ke-14, yang akan berlangsung selama sehari, telah dipinda untuk memberi fokus hanya kepada Titah Ucapan Diraja.

Beliau berkata ini berikutan pandemik COVID-19 dalam negara belum berakhir sepenuhnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.