Selesaikan segera masalah Orang Asli

128

3 SEPT: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli agar semua isu dan permasalahan dihadapi masyarakat itu dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berharap agar kerajaan dapat perhalusi serta perkemas cadangan itu bagi membantu masyarakat Orang Asli agar mereka dapat perbaiki kehidupan mereka dalam jangka masa panjang.

Isa berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) seharusnya melaksanakan kerjasama erat antara agensi dan kementerian yang terlibat dalam melaksanakan semua tuntutan dalam dokumen dan dasar sedia ada untuk manfaat masyarakat Orang Asli.

“Jika lihat isu pendaftaran, sebab itu saya katakan kerjasama perlu antara jabatan dan JAKOA. Masih banyak kes Orang Asli Batik tidak mempunyai kad pengenalan, banyak lagi e-Kasih Orang Asli masih tercicir dan banyak tidak berdaftar.

“Sebab itu saya jelaskan supaya Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli Dan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Orang Asli dapat dibangunkan dan digerakan semula supaya antara jabatan boleh fokus menyelesaikan masalah yang berlaku terhadap Orang Asli,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Isa turut mencadangkan agar jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau dapat menyelaraskan dengan agensi dan kementerian terlibat supaya permasalahan yang dihadapi oleh Orang Asli dan JAKOA selama ini dapat diatasi di bawah kebijaksanaan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan agar kerajaan dapat menyelaraskan dengan teliti wang saku pengangkutan anak-anak Orang Asli untuk ke sekolah kerana masalah tersebut menyebabkan ramai dalam kalangan mereka tidak hadir ke sekolah.

“Isu kehadiran pelajar sekolah ini tidak dapat diakses oleh JAKOA sedangkan untuk membayar pengangkutan bas dan van perlukan senarai kehadiran di mana senarai itu berada di pihak sekolah.

“Ini yang jadi isu dan kami di JAKOA yang akhirnya kelambatan birokrasi ini menyebabkan Orang Asli lambat atau tidak dapat wang saku yang akhirnya jadi isu dalam pengangkutan untuk anak-anak ini ke sekolah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.