PNB perlu kekal relevan untuk bumiputera

86

3 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu terus kekal relevan dalam peranannya meningkatkan kekuatan ekonomi bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya.

Menurut Perdana Menteri, ini sejajar dengan kedudukan PNB selaku institusi pelaburan distinktif dan syarikat pengurusan dana terbesar negara serta bertaraf dunia.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Muhyiddin dalam status itu turut berkongsi gambarnya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) di bangunan PNB, Kuala Lumpur, kali kedua sejak dilantik sebagai Pengerusi YPB pada April lalu.

Turut serta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB iaitu Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Tan Sri Ambrin Buang dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,Ahmad Zulqarnain Onn serta Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Eksekutifnya Izwan Zainuddin.

Tambah Perdana Menteri, selain diberi penerangan berkaitan aktiviti ekonomi di bawah kendalian PNB, beliau juga tertarik dengan perkembangan pembinaan projek Menara Merdeka 118.

“Saya difahamkan pelaksanaan projek Menara Merdeka 118 berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan dan PNB akan memindahkan operasinya ke bangunan baharu tersebut.

“Selesai mesyuarat, saya kemudiannya hadir menyaksikan majlis pengagihan keuntungan sebanyak RM120 juta Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) kepada YPB.

“Agihan itu adalah untuk manfaat pemegang unit bumiputera dalam dana
amanah yang diuruskan oleh PNB,” katanya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, YPB melalui anak syarikatnya PUNB pula akan terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan bumiputera supaya pandemik COVID-19 tidak memberi kesan berpanjangan kepada golongan terbabit. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.