Perhalusi pindaan Akta 355 perkasa mahkamah syariah

46

3 SEPT: Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu diperhalusi dan dilakukan kajian teliti agar ia dapat dilaksanakan bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara yang sekian lama ‘dianaktirikan.’

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang berkata jika terdapat kelemahan terhadap undang-unangtersebut, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai pendebatan dan perbahasan keilmuan menerusi pakar undang-undang sivil dan syariah.

“Hendaklah sama-sama dibaiki selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Setiap undang-undang digubal untuk memberikan didikan kepada masyarakat bukan sekadar hukuman semata-mata.

“Jika dilihat dari sudut hukuman sahaja sekalipun jumlah denda dan mempunyai hukuman maksimum namun gagal mendidik pesalah, maka undang-undang itu gagal mencapai matlamatnya.

“Oleh itu, kesalahan jenayah di bawah mahkamah syariah seperti khalwat dan sebagainya tidak boleh dipandang ringan lagi. Nilai denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali rotan tidak lagi relevan dalam konteks hari ini berbanding hukuman di bawah akta lain yang sedang berkuat kuasa,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau memberitahu, undang-undang jenayah syariah hanya tertakluk ke atas umat Islam serta di mahkamah syariah dan perlu dilaksanakan segera jika dilihat dari keadaan semasa dan mengambil kira kekangan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Husain, kefahaman undang-undang Islam khususnya di kalangan bukan Islam mesti dipertingkatkan di pelbagai medium yang dibenarkan undang-undang supaya tidak berlaku salah faham terhadap undang-undang Islam.

“Kita berharap semua pihak ketika membicarakan perundangan Islam dan undang-undang sivil dalam suasana kesederhanaan dan menghormati tradisi keilmuan bagi mengupas sesuatu agar ketidakfahaman dalam kalangan rakyat dapat diatasi dan mereka mudah untuk menerimanya

“Jika Dewan Negara beri peluang meluluskan bagi menaikkan dan meluaskan bidang kuasa syariah atau menyeragamkan pentadbiran mahkamah syariah pada masa depan, maka kedudukannya boleh berdiri setaraf mahkamah sivil dan pelaksanaan pemerintah atau kehakiman dapat dijalankan secara berkesan terhadap pesalah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.