Maklumat projek semua sudah sedia

42

3 SEPT: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bersedia mengemukakan surat berkaitan projek-projek kementerian itu yang diluluskan secara rundingan terus ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata surat berkaitan telah dikumpul dan akan diserahkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat siasatan lanjut mengenainya.

“Saya sudah dapat (surat ) dan semua sudah ‘compile’ (kumpulkan). Jika ada yang mahu siasat, tiada masalah. Semua itu ada dalam fail, jadi kalau ada siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan beri dokumen itu.

“Saya sudah bersedia dan tidak mahu panjangkan kepada pihak media,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Taman Midah, Cheras hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat 24 Ogos lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sepanjang pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan, ia telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa pentadbiran PH, menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang pemberian projek secara rundingan terus dan menyatakan dua projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diluluskan secara rundingan terus dibuat di luar pengetahuannya.

Sabtu lepas, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencabar Zuraida agar mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek KPKT yang diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan PH.

Lim mendakwa Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta itu dimohon sendiri oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.