MAHB tawar model sewaan baharu bantu peniaga

86

3 SEPT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memperkenalkan model sewaan terkini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan dan menarik rakan perniagaan yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, pihaknya menyedari kesukaran yang dihadapi oleh rakan kongsinya disebabkan oleh penurunan dalam trafik penumpang.

“Kami tidak akan membenarkan pandemik COVID-19 mengganggu rancangan kami dalam meningkatkan pengalaman lapangan terbang dan tahap perkhidmatan berkaitan.

“Kami perlu bersedia sehingga sampai masa apabila lapangan terbang pulih kembali ke tahap biasa. Model sewaan terbaharu ini juga akan membantu memudahkan kelangsungan perniagaan penyewa sedia ada dan menyediakan mereka dengan ruang kelegaan, sementara kami menjalani pemulihan secara beransur-ansur daripada segi trafik,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyewa sedia ada yang telah mendaftar atau yang akan memohon untuk memasuki program set semula komersial lapangan terbang akan mendapat faedah pengurangan sewa sehingga 30 peratus daripada kadar semasa atau bersamaan dengan simpanan tahunan sebanyak RM45 juta.

Mohd Shukrie berkata, sejak 2018, MAHB telah memulakan inisiatif penetapan semula komersial di lapangan-lapangan terbang antarabangsanya bagi memperkasakan pengalaman peruncitan dan model sewaan baharu ini akan memastikan jenama terbaik muncul di lapangan terbang tanpa mengambil kira kesan COVID-19.

Sementara itu, MAHB turut memperkenalkan pakej bantuan bernilai RM22 juta untuk membantu peruncit di lapangan-lapangan terbang kendalian MAHB menangani kesan COVID-19.

Pengerusi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan di bawah pakej bantuan ini, kira-kira 650 penyewa runcit atau 80 peratus daripada peruncit akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus untuk selama enam bulan.

Mereka terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana yang akan menerima ruang kelegaan daripada segi aliran tunai bagi membolehkan mereka terus beroperasi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.