Kena dakwa sebab kutip wang kutu

129

3 SEPT: Seorang penjual nasi lemak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menganjurkan kumpulan ‘wang kutu’, dua tahun lepas.

Nor Jaimah Kamarudin, 36, yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Memetik laporan Bernama, dia didakwa mengutip wang daripada lima ahli kumpulan berkenaan, yang merupakan larangan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, antara Januari hingga Ogos 2018 di Kubang Semang, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 3 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Aminah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Sept untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Iqbal Mohd Yusoff manakala OKS diwakili peguam Gunamalar Joorindanjn.

Difahamkan OKS mencari ahli kumpulan wang kutu melalui media sosial Facebook dengan ahlinya berasal dari pelbagai negeri termasuk Pahang dan Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.