Kaedah baru lantik KP SPRM akan dibawa ke Kabinet

30

3 SEPT: Syor pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kini di peringkat penyediaan kertas Kabinet.

SPRM dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan kertas Kabinet berhubung cadangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan kelulusan.

Menurut kenyataan berkenaan, cadangan bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bagi mengendalikan pengambilan dan pemberhentian kakitangan serta pegawai badan itu, juga berada di peringkat penyediaan kertas Kabinet.

“Seterusnya, perkara ini akan diusulkan di Dewan Rakyat, pada sidang yang terdekat selepas diluluskan oleh Kabinet.

“Kedua-dua cadangan ini adalah peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan dilaksanakan,” katanya.

Media semalam, melaporkan, kedua-dua cadangan itu adalah antara reformasi undang-undang berkaitan SPRM bagi menjamin kebebasan agensi itu.

Selain proses pelantikan, reformasi berkenaan turut membabitkan prosedur penamatan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya yang akan melalui tribunal khas serta mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.