Jangkitan tempatan melonjak 10 kes

58

3 SEPT: Jangkitan tempatan COVID-19 melonjak kepada 10 kes hari ini berbanding hanya dua jangkitan semalam dengan Kedah dan Sabah masing-masing melaporkan empat kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua jangkitan tempatan yang dilaporkan hari ini melibatkan dari tiga kluster sedia ada iaitu Tawar dan Telaga di Kedah serta Benteng LD di Sabah melibatkan penularan kes di Penjara Tawau.

Menurut beliau, keseluruhannya terdapat 14 kes baru COVID-19 hari ini empat kes import dilaporkan yang melibatkan jangkitan dari Singapura dan Filipina dengan dua daripadanya dari kluster Bunga di Negeri Sembilan.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini manakala empat kes sembuh dilaporkan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 163 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, kluster Benteng LD mencatatkan enam kes hari ini melibatkan empat bukan warganera dan dua rakyat tempatan manakala tiga kes dari kluster Tawar di Kedah dan satu lagi dari kluster Telaga..

Katanya, hasil siasatan lanjut kluster Benteng LD mendapati satu kes positif COVID-19 yang melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah (iaitu kes ke-9351 yang dilaporkan pada 1 September 2020) berkait rapat dengan kluster ini.

“Beliau mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes, di mana beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9344 dan kes ke-9345) .

“Enam kes baharu yang dilaporkan hari ini telah dikesan di Penjara Tawau. Empat daripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

“Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos 2020 dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di Penjara Tawau. Kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya yang memaklumkan 336 orang telah disaring.

Mengenai kluster Tawar, Noor Hisham berkata, terdapat dua daripada tiga kes baharu dari kluster berkenaan dikesan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 78 kes dan setakat tengah hari ini seramai 18,164 orang telah disaring,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.