Akui suratnya, tak perlu kata LTTE pengganas – Tun M

288

3 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah menulis surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak terus mengklasifikasikan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LLTE) sebagai pengganas ketika beliau menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir menolak dakwaan bahawa suratnya kepada KDN itu menandakan beliau menyokong perjuangan kumpulan pengganas LTTE.

“Saya tak sokong LTTE. Masalah itu berlaku kerana Sri Lanka, bukan kita. Tak perlulah kita ambil tindakan macam itu (senarai hitamkan mereka) melainkan dia buat benda-benda tak baik di Malaysia.

“Mungkin dia (mereka) kutip duit tapi zaman dulu pun dia kutip duit juga,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam surat bertarikh 12 Februari yang tular itu, Dr Mahathir ketika menjawat jawatan Perdana Menteri ketujuh ada menulis surat kepada Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri meminta kerajaan tidak melabelkan LLTE sebagai pengganas.

Surat itu menyatakan; “Saya berpendapat tidak ada sebab kita teruskan label LTTE sebagai terrorist… Saya fikir eloklah jika dikeluarkan LTTE dari senarai terrorist.”

Bagaimanapun, pada Februari lalu, KDN menegaskan mereka mempunyai asas kukuh mengekalkan penyenaraian kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Pada Tahun lalu, seramai 12 orang termasuk dua wakil rakyat DAP ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Pertuduhan ke atas 12 mereka itu kemudiannya digugurkan, dan semakan kehakiman untuk mengeluarkan kumpulan itu dari senarai keganasan akan diputuskan pada 17 September ini.

Dalam suratnya, Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa pemimpin Hamas diterima di Malaysia walaupun mereka juga diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, pada sidang akhbarnya hari ini, Ahli Parlimen Langkawi berkenaan berkata, ini tidak bermaksud bahawa dia secara peribadi menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

“Bukan saya kata Hamas tu terroris, Hamas ditakrif sebagai terroris oleh Amerika Syarikat. Dunia cakap Hamas tu terroris,” katanya.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata bahawa dia berkawan dengan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh.

“Kenapa saya jumpa Hamas punya ketua. Dia kawan dengan saya, takkan saya nak panggil terroris. Kita tak perlu cari masalah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.