109 individu ditahan kunjung kelab malam

49

3 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 198 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk 109 orang yang terlibat dalam aktiviti pub atau kelab malam dan dua orang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 184 individu dikompaun manakala sembilan individu direman dan lima individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (25), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (41) dan gagal mematuhi arahan kuarantin (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 63 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 23,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri menyatakan, seorang warga asing ditahan dalam operasi tersebut atas kesalahan imigresen.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 22 September 2020, seramai 22,057 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 71 hotel dan empat institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,481 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 12,510 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,201 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,175 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 26 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.