Warisan hanya tahu potong reben projek zaman BN

61

2 SEPT: Tidak banyak kejayaan yang dicapai Parti Warisan Sabah (Warisan) sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah adalah terendah di Malaysia dengan hanya 0.5 peratus.

Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, yang jelas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pimpinan kerajaan negeri yang lain tampak gembira menghabiskan masa ‘memotong reben’ merasmikan projek serta program yang dirintis pentabiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya Warisan pakar dalam hal mengumumkan projek bernilai berbilion ringgit yang sehingga kini langsung tidak nampak bayang.

“Harus saya katakan, petunjuk prestasi utama (KPI) Warisan adalah dalam menabur janji kosong dan menyebarkan berita palsu yang semakin menjadi-jadi.

“Tetapi saya risau dengan nasib Sabah sekiranya ini saja yang mampu ditawarkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, dakwa Musa, Mohd Shafie kini semakin terdesak apabila sanggup menjaja pelbagai pembohongan tidak berasas semata-mata untuk kekal berkuasa seperti mana dalam kempennya baru-baru ini yang tanpa segan silu melemparkan tuduhan liar, selain sanggup memanipulasi isu perkauman untuk mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, menyebarkan berita palsu kini sudah menjadi ‘resam’ baharu kepada Warisan dan baru-baru ini, Mohd Shafie menuduh bahawa pentadbiran kerajaan sebelum ini dengan sengaja memberikan tanah milik Yayasan Sabah kepada segelintir pihak.

“Terang lagi bersuluh, niat Mohd Shafie itu amat meragukan kerana sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS), beliau sepatutnya sedar bahawa tuduhan itu tidak benar disebabkan kawasan yang dilesenkan kepada YS tidak boleh diberikan kepada pihak ketiga.

“Sebagai pemegang hak tunggal, Ys hanya boleh menjemput pihak ketiga untuk mengeluarkan hasil balak menerusi kaedah Pembalakan Kurang Impak (RIL) atau membangunkan kawasan yang dilesenkan secara kontrak,” katanya.

Tambah Musa, mungkin bagi sesetengah ahli politik, berita palsu, penipuan, kempen kotor dan pembunuhan karakter adalah satu-satunya jalan untuk mereka dilantik.

“Apa motif Mohd Shafie apabila beliau membuat tuduhan, kononnya segelintir komuniti dijadikan ‘anak emas’ oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini dalam hal berkaitan pemberian tanah.

“Semua ucapannya tidak lebih daripada sekadar retorik politik yang disulam pelbagai kenyataan ralat bersandarkan propaganda.

“Seseorang tidak boleh dipersalahkan sekiranya beranggapan bahawa ucapan Mohd Shafie sarat dengan elemen perkauman,” tegasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.