UMNO tangguh mesyuarat bahagian, sayap

167

2 SEPT: Berikutan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang dijadualkan bulan ini, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditangguhkan ke 27 September hingga 15 November 2020.

Turut ditangguhkan, Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam suratnya kepada setiausaha-setiausaha UMNO Bahagian dan penolong setiausaha sayap parti itu hari ini.

Penamaan calon PRN Sabah akan diadakan pada 12 September ini dengan hari pengundian bakal berlangsung dua minggu kemudian.

Tarikh asal mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian dan sayap parti itu sebelum ini ditetapkan bermula 17 September hingga 31 Oktober.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pula akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama dua hari bermula 27 November depan.

Keputusan itu selaras dengan kebenaran bermesyuarat diperoleh daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan mesyuarat pengurusan parti itu yang diadakan semalam.

Dalam makluman sebelum ini, Ahmad berkata, kesemua perhimpunan sama ada di peringkat cawangan, bahagian ataupun negeri yang berlangsung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ditetapkan kerajaan berikutan pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.