Tolak rasuah seperti jijiknya pada babi

62

2 SEPT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki menegaskan orang ramai terutama penjawat awam perlu menolak dan membenci amalan rasuah seperti mana umat Islam jijik terhadap daging ‘babi dan anjing’

Azam berkata beliau percaya jika orang ramai terutama penjawat awam boleh berbuat demikian maka tahap integriti mereka akan dipertingkatkan terutama ketika menjalankan tugas selaku kakitangan kerajaan.

“Kita kena tolak rasuah dan bencilah rasuah sebagaimana orang Islam mengatakan benci dan jijik kepada daging babi dan anjing.

“Begitu juga kalau kita bercakap pasal rasuah ini, kita benci kepada rasuah sebagaimana kita benci anjing dan babi,” katanya dalam sesi bual bual bicara [email protected] bersama Melakafm hari ini. .

Terdahulu, Azam berkata kerajaan dan masyarakat perlu melihat dua cabaran kritikal dihadapi SPRM sekarang dalam menangani dan menjalankan penguatkuasaan rasuah secara berkesan di negara ini.

Azam berkata pertama dari segi kebebasan SPRM itu sendiri di mana perlu ada ‘political will’ dan kedua perlu memperlihatkan suruhanjaya itu sebagai satu badan yang bebas tanpa ada ganggu gugat atau campur tangan mana-mana pihak.

“Kalau tanya saya, di mana SPRM dalam keadaan sekarang ini, memang kami disokong oleh kerajaan pemerintah untuk kita melaksanakan pencegahan rasuah secara berkesan.

“Bahkan, baru-baru ini kerajaan telah bersetuju dalam Mesyuarat Kawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memperkasakan lagi SPRM.

“Mesyuarat itu membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat melalui perlembagaan undang-undang, iaitu pelantikan akan datang kalau dipersetujui, memerlukan majoriti dua pertiga dari Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, Perlembagaan Persekutuan akan meletakkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengikut Perlembagaan dan sekiranya untuk ditamatkan perkhidmatan juga perlu melalui satu tribunal yang khas- bukan boleh ditamatkan begitu saja oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang mana sekarang ini mereka di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Sebelum ini, pengambilan pegawai dan kakitangan (SPRM) melalui SPA. Jadi, dengan memberi kebebasan kepada kami untuk melantik pegawai atau kakitangan melalui suruhanjaya sendiri adalah baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.