SPRM belum buka siasatan projek rundingan terus

39

2 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan Kementerian Kewangan ketika di zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya masih menjalankan analisis dan kajian terhadap semua projek terbabit sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

Menurut beliau, di bawah amalan Perbendaharaan Negara, ada tiga kaedah untuk mengeluarkan tender bagi sesuatu projek dan salah satu daripadanya adalah secara rundingan terus.

“Kita sekarang sedang melihat dan mengkaji senarai syarikat yang menerima projek-projek berkenaan dan menilai sama ada terdapat unsur rasuah ataupun tidak dalam rundingan berkenaan,” katanya dalam sesi soal jawab bersempena Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan, hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan dalam sidang Dewan Rakyat bahawa pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Mengulas lanjut, Azam berkata sejak 2015 hingga Ogos 2020, sebanyak 1,196 maklumat telah diterima oleh SPRM Melaka berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan oleh orang awam.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 427 fail telah dibuka dan 119 penjawat awam telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.