PKSK saring kemasukan sekolah berasrama penuh

251

2 SEPT: Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kaedah penilaian baharu iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tujuan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya akan membangunkan satu sistem permohonan kemasukan pelajar tingkatan 1 dan 4 ke sekolah khusus secara ‘single entry point’ untuk kemasukan tahun hadapan.

Menurut beliau, sistem itu membabitkan permohonan secara atas talian dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.

“PKSK merangkumi tiga komponen iaitu 20 peratus bagi kecerdasan insaniah, 70 peratus kecerdasan intelektual dan 10 peratus lagi bagi artikulasi penulisan. Kecerdasan insaniah dan intelektual secara dalam talian dan penulisan secara bertulis.

“Secara keseluruhan PKSK untuk menilai potensi murid secara menyeluruh dan menguur tahap percambahan idea ke tahap kretiviti dalam sesuatu bidang. Permohonan untuk ke sekolah khususnya tingkatan satu akan dibuka pada 7 September sehingga 2 Oktober 2020,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramaniam berhubung kaedah pemilihan oleh kerajaan ke SBP yang akan dibuat kepada murid-murid tahun enam yang tidak menduduki UPSR tahun ini.

Bagi menjawab soalan tambahan Balasubramaniam jika kementerian mengambil kira aspek faktor kemiskinan dan lokasi luar bandar sebagai kriteria kemasukan ke SBP, Hang Soon berkata, pihaknya akan memastikan perkara itu agar pelajar di kawasan pedalaman tidak keciciran.

“Sebenarnya di dalam sistem pendidikan Malaysia ada banyak platform untuk membolehkan murid-murid memerlukan melanjutkan pelajaran bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengikut kesesuaian.

“Inilah salah satu platform Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran yang diadakan untuk murid-murid menduduki platform tunggal di mana sesuai untuk mereka teruskan pelajaran. Ada banyak lagi platform dan ini pun ianya terbuka kepada semua murid,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.