Perbaharui resolusi perkasa agenda ekonomi bumiputera

97

2 SEPT: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mahu memperbaharui dan memperkukuh resolusi dan pelan tindakan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama (KEB1) 1965 kepada KEB1 2020 agar kekal relevan bagi memperkasa agenda ekonomi Bumiputera pada 40-45 tahun akan datang.

Resolusi yang diperbaharui itu akan dibentangkan dalam acara KEB1 2020 pada 1 Okt 2020 yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung MPM, Prof Datuk Dr Hasan Mad berkata, pembaharuan semula resolusi itu bertujuan mengembalikan kredibiliti institusi-institusi berkaitan pemerkasaan bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang sebelum ini dikenali sebagai Pernas.

“Kita sudah kaji (resolusi KEB1 1965) oleh itu kita akan angkatnya sebagai resolusi (KEB1 2020) agar kerajaan kukuhkan sistem penyampaian awam dan korporat supaya mereka lebih amanah dan berintegriti dalam melaksanakan tangungjawab masing-masing untuk ekonomi dan kemakmuran bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran KEB1 1965-2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Hasan menambah, tindakan MPM memperbaharui dan mengukuhkan resolusi serta pelan tindakan KEB1 berkenaan juga sebagai susulan terhadap rungutan segelintir usahawan bumiputera yang mendakwa tercicir daripada menerima manfaat akibat kelemahan sistem penyampaian terbabit.

Malah, tegas beliau, ia juga bertujuan memastikan MARA dan lain-lain agensi yang berperanan memperkukuh ekonomi bumiputera untuk membantu golongan itu agar lebih berdaya saing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.