Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan

109

2 SEPT: Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dan terus berfungsi secara cekap walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM) dalam kenyataan media berkata, pertumbuhan Malaysia dalam suku kedua telah susut pada kadar -17.1 peratus tahun ke tahun dan seiring dengan prestasi pasaran serantau lain berikutan pelaksanaan langkah-langkah bagi membendung penularan pandemik tersebut.

Penguncupan pertumbuhan serupa turut dicatatkan negara-negara Asia lain seperti Singapura, Filipina dan Indonesia yang merekodkan pertumbuhan negatif masing-masing pada -13.2 peratus, -16.5 peratus dan -5.3 peratus.

Di sebalik pertumbuhan negatif pada suku kedua tahun ini, pertumbuhan domestik dijangka pulih dalam separuh kedua 2020 berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

PPKM memberitahu, peningkatan eksport 8.8 peratus tahun ke tahun baru-baru ini berbanding penguncupan sebanyak -25.5 peratus pada Mei lepas telah didorong oleh kelonggaran kawalan pergerakan yang dijangka memberi pemangkin positif baharu bagi menyokong pemulihan pertumbuhan separuh pertama 2020.

“Kami mendapati aktiviti ekonomi yang terhad bagi tempoh April hingga Jun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, menjelang akhir Jun, kami melihat aktiviti ekonomi utama meningkat semula khususnya dalam sektor pembuatan, pertanian dan pembinaan berikutan sebahagian besar daripadanya telah dibuka semula dan PKP turut dilonggarkan.

“Malah, terdapat kemungkinan berlakunya pemulihan ekonomi yang ketara pada masa akan datang,” kata persatuan tersebut.

PPKM menjelaskan, Malaysia telah menyuntik hampir RM45 bilion dalam bentuk sokongan fiskal langsung yang berjumlah kira-kira 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi sebahagian daripada rancangan suntikan berjumlah RM295 bilion ke dalam ekonomi.

Menurut PPKM, aktiviti dagangan dalam pasaran bon ringgit adalah sihat yang meliputi transaksi harian memberangsangkan berjumlah RM5 bilion bagi bon dan sukuk kerajaan dalam ringgit setakat ini – lebih tinggi daripada jumlah purata dagangan harian sebanyak RM4.2 bilion pada tempoh sama dalam 2019.

Sementara itu, jumlah dagangan bulanan bon dan sukuk kerajaan pada 2020 juga kekal memberangsangkan dengan transaksi bernilai RM102 bilion, lebih tinggi daripada purata transaksi bulanan RM85 bilion pada 2019.

Menurut PPKM, jumlah dagangan yang positif itu turut memaparkan usaha-usaha oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mempertingkat mudah tunai yang antara lainnya termasuk menambah kesediaadaan bon untuk dipinjam menerusi repo bagi aktiviti pasaran.

Jadual lelongan 2020 juga terus memaparkan lebih banyak pembukaan tender bagi meningkatkan kedalaman serta mudah tunai penanda aras sedia ada dengan saiz petunjuk utama 10 tahun pada masa ini mencecah lebih RM20 bilion.

“Walaupun gabungan terbitan bon-bon korporat utama baharu dalam separuh pertama 2020 lebih rendah pada RM38.8 bilion berbanding RM74.9 bilion yang diraih pada separuh pertama 2019, kami menjangkakan momentum itu akan meningkat pada separuh kedua 2020.

“Ini berikutan pihak korporat akan terpaksa mendapatkan kos pinjaman rendah menerusi terbitan dalam ruang dengan tarikh lebih panjang,” katanya.

Selain itu, PPKM berkata, momentum terbitan juga telah berkembang secara ketara dalam beberapa minggu lepas susulan jangkaan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh BNM pada Julai yang menjadikan paras semasa OPR mencecah paras terendah pada 1.75 peratus.

Dalam pada itu, pemilikan asing terhadap bon dalam ringgit telah mendapat tarikan positif sejak beberapa bulan lepas dengan aliran masuk bon bagi Mei, Jun dan Julai masing-masing pada RM1.5 bilion, RM11.6 bilion dan RM7.1 bilion.

Jumlah pemilikan asing dalam bon kerajaan denominasi ringgit pada masa ini meningkat kepada 22.7 peratus pada Julai berbanding 22.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.