Kempen untuk lawan, keahlian Osman automatik gugur

512

2 SEPT: Keahlian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, selaku ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tergugur secara automatik apabila berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata semua ahli BERSATU memang tahu bahawa mereka akan hilang keahlian secara automatik jika berkempen untuk calon parti lawan dalam mana-mana pilihan raya seperti termaktub mengikut Fasal 20.3.2.

Berikutan itu Megat Najmuddin menjelaskan kes Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam tidak perlu dirujuk ke Lembaga Disiplin BERSATU kerana sudah jelas.

“Berdasarkan apa yang berlaku sekarang Datuk Osman Sapian bukan lagi ahli parti ini kerana keahliannya terbatal secara automatik mengikut Seksyen 20.3.2 Perlembagaan BERSATU selepas beliau berkempen untuk calon pembangkang semasa PRK Slim.

“Jadi kita tidak perlu lagi hadapkan beliau ke Lembaga Disiplin BERSATU kerana kesalahan dilakukannya amat jelas,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bentuk hukuman bakal dikenakan terhadap Osman yang berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK DUN Slim baru-baru ini.

Berikutan itu, Megat Najmudddin berkata beliau menyerahkan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk mengeluarkan surat pengesahan rasmi berhubung pemecatan Osman.

Sebelum ini media melaporkan Osman menyerahkan kepada kepemimpinan BERSATU mengenai nasibnya bersama parti itu.

Bagaimanapun, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, beliau masih menyayangi BERSATU kerana sudah berjuang bersama parti berkenaan sejak dari peringkat awal.

“Saya serahkan kepada kepimpinan (BERSATU) untuk buat keputusan. Mereka berkuasa. Saya masih ahli parti. Saya akan terima apa parti nak buat pada saya.

“Saya masih sayang BERSATU. Saya antara yang mula-mula memperjuangkan BERSATU di Johor daripada tidak ada ahli hingga tubuhkan cawangan, bahagian,” katanya.

Terdahulu, BERSATU Bahagian Pulai dilaporkan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Osman membantu kempen calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Ketua Bahagian BERSATU Pulai, Ya’cob Atan, dilaporkan berkata aduan rasmi berkenaan akan dihantar minggu depan selepas mengadakan mesyuarat bahagian berkenaan pada Khamis ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.