Gubal akta khusus cegah hina Jalur Gemilang

134

2 SEPT: Kerajaan perlu mewujudkan satu akta yang lebih khusus bagi menetapkan proses atau tatacara pengunaan dan pengibaran Jalur Gemilang serta semua bendera rasmi yang ada di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Lim Pay Hen memberitahu, melalui akta tersebut, semua pihak dapat mengetahui dengan lebih jelas aspek penggunaan dan pengibaran bendera rasmi.

Menurut beliau, hukuman yang lebih keras dapat dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak menghormati proses atau tatacara penggunaan dan pengibaran bendera.

“Negara luar seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura mempunyai akta khas bagi kesalahan mempersendakan bendera kebangsaan mereka.

“Saya kira dengan pelbagai isu dan provokasi bendera terbalik ini, adalah waktu terbaik dan tepat bagi melaksanakan undang-undang ini agar setiap rakyat dapat memberikan penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Pay Hen turut mengesyorkan kepada kerajaan agar mempergiatkan lagi kempen dan program khas bagi memperingati dan memberi penerangan mengenai pengertian serta tujuan Rukun Negara diwujudkan kepada rakyat, khususnya golongan belia.

Beliau berkata, penganjuran itu wajar diperbanyakkan lagi oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi mempromosi keharmonian, integriti dan perpaduan antara kaum di negara ini di samping memberi kesedaran agar Jalur Gemilang harus dikibar dengan penuh tertib, penuh rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat.

“Saya berasa sedih kerana masih terdapat banyak provokasi yang tidak bertanggungjawab berlaku biarpun negara kita sudah 63 tahun menyambut kemerdekaan.

“Masih ada lagi isu bendera kebangsaan Jalur Gemilang digantung kita terbalik, isu menghina insitusi diraja, isu memperlekehkan bahasa kebangsaan dan pelbagai lagi yang tidak seharusnya wujud dalam kalangan rakyat,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.