Guan Eng tanya Shafie mengapa ditahan masuk Sabah

339

2 SEPT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan bertanya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai punca beliau dihalang daripada memasuki Sabah.

Bekas Menteri Kewangan itu tidak berpuas hati apabila ditahan oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.

Beliau tiba di lapangan terbang itu pada jam 11.54 pagi dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pada mulanya, berjaya melepasi pemeriksaan imigresen.

“Kemudian, sudah hampir nak masuk kereta, seorang pegawai imigresen kanan telah datang minta saya masuk semula. Saya berikan kerjasama dan ikut ke pejabat imigresen.

“Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah. Apa ni? Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Guan Eng menjelaskan, beliau hanya dibenarkan memasuki negeri itu selepas setengah jam ditahan pihak imigresen.

“Tak apalah, nanti saya akan tanya Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal, adakah beliau tak mau saya masuk Sabah?” soalnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan dakwaan itu.

“Tak betul. Mahkamah hanya impounded (menyekat) pasport dia ke luar negara sahaja. Beliau boleh memasuki Sabah menggunakan kad pengenalan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.