Filipina buka semula jabatan khas tuntut Sabah

154

2 SEPT: Kementerian Luar Filipina mahu membuka semula jabatan khas bagi menggerakkan usaha menuntut hak dan merebut semula Sabah daripada Malaysia.

Memetik laporan Agensi, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengumumkan pembukaan semula pejabat khas di bawah Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) itu melalui ciapan Twitter beliau semalam.

“Terdapat biro lama dalam DFA iaitu Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara, yang secara khusus menumpukan perhatian terhadap isu ini.

“Pejabat ini akan dihidupkan semula, khas bagi meneliti kenapa usaha merebut semula Sabah masih belum selesai termasuk sama ada mahu menghidupkannya atau beri nafas baru,” katanya.

Locsin, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi Julai lalu dengan menyatakan bahawa Sabah ‘bukan berada dalam Malaysia’.

Beliau turut mendakwa tawaran rasuah ‘besar’ dibuat oleh calon presiden Filipina kepada pegawai selama bertahun-tahun supaya tuntutan Filipina ke atas Sabah digugurkan.

“Rakyat Filipina mesti tahu apakah tawaran yang dibuat itu sangat besar sehingga tercetus niat untuk mengkhianati negara sendiri, ini tidak masuk akal,” katanya.

Dalam ciapan Twitter yang sama, Locsin mendakwa tawaran supaya menggugurkan tuntutan Filipina ke atas Sabah berulang kali dibuat oleh beberapa calon presiden sejak akhir 1970-an, terutama calon pembangkang yang memerlukan dana kempen.

Tuntutan terbaru Filipina itu menyusuli keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina seluas 320 kilometer (km) merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Filipina sudah lama mengemukakan tuntutan terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan wilayah itu oleh Sultan Sulu, yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.

Malaysia sebaliknya sudah menegaskan bahawa ia tidak mengiktiraf dan tidak akan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah, yang secara rasmi menjadi sebahagian daripada Malaysia ketika pembentukan negara pada 1963.

Misi tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jumaat lalu menyerahkan nota kepada badan dunia itu menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.