Dua kes tempatan, satu di Pahang dan satu di Selangor

110

2 SEPT: Sebanyak enam kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan hanya dua jangkitan tempatan dikesan iaitu masing-masing satu kes di Selangor dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes di Selangor itu melibatkan kluster MV Glen yang merupakan isteri kepada kes positif kluster itu yang dilaporkan 30 Ogos lalu.

Katanya, kes terbaru yang juga kes ketiga dari kluster MV Glen telah dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat.

Ujarnya, setakat ini 58 orang telah disaring dengan 16 negatif dan 39 masih menunggu ujian.

“Kes di Pahang pula melibatkan satu kes saringan di tempat kerja. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Kedua-dua kes tempatan libatkan rakyat Malaysia.

“Empat kes import yang dilaporkan hari ini pula kesemuanya terdiri daripada bukan negara melibatkan tiga jangkitan dari Indonesia manakala satu lagi dari Syria,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sehingga kini, kata Noor Hisham, terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, empat lagi kes sembuh dilaporkan dan dengan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 153.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, saringan sign-on dan sign-off untuk anak kapal adalah penting kerana ia merupakan salah satu langkah bagi memantau kawalan sempadan negara untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dari luar negara menular masuk ke dalam negara ini.

“KKM bersama Jabatan Laut Malaysia telah mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketatkan sempadan negara di Perairan Malaysia. Pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan telah dibangunkan bagi golongan pelaut yang memasuki Malaysia melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan Kerajaan. Proses ini akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Noor Hisham berkata, hanya satu kes dikesan positif daripada 12,870 orang yang disaring.

Katanya, buat masa ini, 182 individu masih menunggu keputusan.

“Syabas diucapkan kepada penduduk setempat yang memberi kerjasama yang baik kepada pasukan dari pelbagai agensi di lapangan. Namun begitu, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan.

“Meskipun jumlah anggaran ini masih dalam semakan, namun pihak KKM tetap mengambil kesempatan ini untuk menyeru dan merayu mereka yang belum menjalani saringan untuk segera tampil ke hadapan ke pusat-pusat saringan yang disediakan,” katanya. -Oleh M.HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.