Dewan Negara bukan batu loncatan politik peribadi

74

2 SEPT: Setiap Senator seharusnya meminimumkan hal-hal berkaitan politik peribadi agar Dewan Negara dapat diperkasakan sebagai institusi penggubalan undang-undang tertinggi di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, amalan tersebut dapat mengelakkan Dewan Negara dijadikan batu loncatan kepada hal-hal politik peribadi.

“Ini bukan sahaja prinsip yang kita dapati di negara-negara maju tetapi juga dalam saujana kita mencari hal ehwal kebaikan bagi Parlimen.

“Dengan cara itu dapat kita menyelami keperluan masyarakat di Malaysia dan memberi keutuhan kepada hujah keluhuran undang-undang dan memberi peneguhan kepada nilai-nilai murni serta nilai-nilai amalan perkhidmatan untuk rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Rais menegaskan bahawa tidak akan tunduk terhadap desakan pihak pembangkang agar beliau mengundurkan diri daripada jawatan Yang Dipertua Dewan Negara kerana mempunyai jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan itu berkata, adalah tidak menjadi satu kesalahan atau melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Negara jika Yang Dipertua Dewan Negara mempunyai jawatan dalam parti politik.

“Amalan kebiasaan menunjukkan Yang Dipertua Dewan Negara terdahulu (Tan Sri SA Vigneswaran) tak letak jawatan. Beliau Presiden MIC. Jadi tiada sebab saya letak jawatan. Saya pun tak banyak jawatan dalam parti. Lebih kepada Penasihat.

“Soal itu tidak relevan kerana konvensyen sudah ada bahawa Yang DiPertua dahulu boleh berperanan political sedikit sebanyak tanpa meletak jawatan. Kalau ada jawatan parti kita terima dengan hati terbuka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.